Friday, October 01, 2021

Perbahasan Rancangan Malaysia ke-12

 Ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 oleh YB Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Bendera pada 29-9-2021

----------------------------------------

Full video: https://www.youtube.com/watch?v=Zs7CNyEJUUY

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. 

Saya turut ingin membahaskan Rancangan Malaysia Keduabelas. Saya mengharapkan RMK12 sebuah pelan ekonomi pasca pandemik COVID-19 untuk melonjakkan Malaysia kepada sebuah ekonomi yang maju. Sebelum ini Malaysia bersaing dengan ekonomi-ekonomi- Four Asia Tigers- Korea, Hong Kong, Singapura dan Taiwan. Mampukah Malaysia menjadi the fifth Asia tiger melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas?

Apakah strategi membina semula ekonomi selepas COVID-19? Kita tahu COVID-19 satu black swan event dengan unpredictable dengan pelbagai uncertainty. Mampukah RMK12 membina semula ekonomi? 

RMK12 perlu menambahkan lebih besar kek ekonomi kita supaya untuk to grow the economy, baru kita boleh bercakap tentang to redistribute the benefits daripada segi distributing justice supaya kebaikan ekonomi boleh dapat dinikmati oleh semua pihak.

RMK12 menggariskan- saya baca rangka kerja industri aeroangkasa dengan begitu hebat anggarannya. Unjuran pendapatan aeroangkasa RM55.2 bilion menjelang tahun 2030. Lima peratus bahagian pasaran global,  nombor satu di Asia Tenggara bagi pembuatan alat ganti komponen, penawaran kerja dan sebagainya. 

RMK12 juga menyentuh tentang pewujudan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa di Selangor dan juga di Pulau Pinang- persoalan saya, jumlah pelaburan kerajaan, peruntukan kerajaan dalam industri aeroangkasa di Selangor dan Pulau Pinang, atau ini hanya bergantung sepenuhnya kepada pelaburan swasta yang tidak menentu? Malah, perancangan fizikal zon aktiviti aeroangkasa sama ada kerajaan memberikan insentif khas terhadap pelaburan asing dalam industri aeroangkasa. 

Saya membangkitkan perkara ini kerana dalam buku RMK12 begitu hebat illustrasinya tetapi ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak langsung menyebut agenda aeroangkasa.  Oleh itu, saya inginkan satu penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, apakahnya perancangan tentang industri aeroangkasa ini atau hanya indah khabar daripada rupa? 

Tuan Yang di-Pertua, saya turut ingin menyentuh tentang tema ‘Inklusif’. RMK12 tidak harus semata-mata sebuah dokumen ekonomi dengan angka pertumbuhan GDP sahaja. Ia juga harus berpaksikan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030- Shared Prosperity Vision, dengan sebuah masyarakat yang inklusif. Apabila kerajaan menyatakan agenda Keluarga Malaysia, ia harus benar-benar menggambarkan semangat pelbagai kaum, kebudayaan serta lokaliti kewilayahan di Malaysia. Slogan ‘Keluarga Malaysia’ bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir. Dokumen RMK12 ini bukan bahasa berbunga-bunga sahaja.

 

Menurut Laporan Households Income Estimate Incidence of Poverty Report 2020 iaitu laporan tentang kemiskinan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia bahawa penambahan isi rumah miskin telah bertambah daripada 405,400 isi rumah kepada 639,800 isi rumah akibat impak pandemik COVID-19. Sejumlah 20 peratus kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. 

 

Sejumlah 12.8 peratus kumpulan T20 menjadi kumpulan M20. Maksudnya sudah jatuh status daripada T20 kepada M40, M40 kepada B40 dan B40 lagi jatuh kepada miskin tegar dan miskin mutlak. Kadar miskin tegar telah naik daripada 0.4 peratus kepada 1 peratus. Itu baru Poverty Report 2020, Laporan Tentang Kemiskinan Tahun 2020. Apa pula angka-angka tersebut dalam laporan tahun 2021 yang turut pada waktu itu masih mengalami kegawatan ekonomi. Adakah usaha konkrit untuk membantu keluarga-keluarga miskin tegar keluar daripada kitaran kemiskinan? 

Tuan Yang di-Pertua, menurut EPF atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, 46 peratus ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10 ribu daripada akaun KWSP. Isu jaminan hidup selepas persaraan atau retirement security menjadi lebih meruncing. KWSP mencadangkan ahli-ahli KWSP mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 sebagai basic saving menjelang umur mereka 55 tahun tetapi hanya 27 peratus ahli-ahli KWSP mencapai angka tersebut. 

Pandemik COVID-19 dengan pelbagai program pengeluaran sama ada i-Sinar dan i-Citra telah merumitkan perancangan jaminan hidup selepas persaraan. Tambahan pula, ramai yang bekerja sambilan sebagai gig worker tidak mempunyai pendapatan yang stabil dan tetap. Saya hanya dapat membaca di dalam dokumen RMK12 ini bahawa hanya akan menubuhkan lebih banyak lagi pusat warga emas. Akan tetapi, pusat warga emas tidak dapat menjamin kelangsungan hidup warga emas selepas persaraan. 

Saya ingin bertanyakan Kementeria Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adakah dasar ekonomi untuk persediaan persaraan warga emas kita dalam RMK12 itu. Satu krisis ekonomi untuk warga emas, satu retirement crisis telah mula terbentuk dan akan nampak impaknya dalam masa 10 tahun hingga 30 tahun. 

Pada tahun 2020, melebihi 7 peratus populasi Malaysia berumur 65 tahun ke atas dan seperti ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Malaysia akan dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 iaitu apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas. Bukan sahaja angka warga emas yang semakin meningkat, simpanan KWSP yang semakin kurang dan beban pencen kerajaan semakin tinggi. 

Saya telah bertanyakan soalan jumlah pembayaran pencen penjawat awam dari tahun 2010 hingga tahun 2020 dan unjuran untuk tahun 2030. Perbelanjaan kerajaan melalui pencen ialah RM9.88 bilion pada tahun 2010 dan meningkat 167 peratus ke RM26.38 bilion pada tahun 2020 dan angka ini meningkat kepada 372 peratus iaitu mencecah RM46.6 bilion pada tahun 2030. Empat kali  ganda dari tahun 2010 ke tahun 2030. Oleh itu, saya menyeru supaya kerajaan adakan satu dasar ekonomi komprehensif untuk warga emas dan dasar harus meliputi KWSP, pencen dan lain-lain kemudahan untuk menyokong warga emas. 

Adakah perlindungan sosial untuk gig workers memandangkan kumpulan ini semakin ramai, adakah cadangan perubahan perundangan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk memberikan perlindungan sosial kepada gig workers supaya mereka dapat setaraf dengan pekerja sepenuh masa? 

 

Pada 15 September 2021, Bukit Bendera telah diisytiharkan sebagai UNESCO Biosphere Reserve melalui mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the Man and the Biosphere Programme.  Kawasan Biosphere Reserve Bukit Bendera merangkumi 12,481 hektar tanah merangkumi hutan berumur melebih satu juta tahun Bukit Bendera, Penang Botanic Gardens yang telah dibuka sejak tahun 1884 dan juga kawasan pantai dan marine ekosistem di Taman Negara Pulau Pinang yang kaya dengan ribuan species flora dan fauna.  Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Bukit Bendera, Universiti Sains Malaysia dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas usaha berterusan sejak tahun 2016 untuk menjayakan usaha penyenaraian tersebut. Tidak lupa juga, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang turut membantu dan menyokong usaha tersebut. Penyenaraian Bukit Bendera sebagai UNESCO Biosphere Reserve menambahkan keserian Pulau Pinang memandangkan Pulau Pinang mempunyai 2 UNESCO status iaitu George Town sebagai UNESCO Heritage Site yang mewakili warisan kebudayaan dan Bukit Bendera sebagai UNESCO Biosphere Reserve yang mewakili biodiversiti. 

Di bawah RMK12 telah dihuraikan cabaran kehilangan biodiversiti. Meskipun Malaysia dilitupi dengan 55.3% kawasan berhutan, fragmentasi hutan mengurangkan ketersambungan ekologi. Kerajaan Persekutuan telah juga memperkenalkan Dasar Perhutanan Malaysia pada tahun 2021. 

Saya ingin menegaskan supaya tema kemampanan diberikan penekanan dalam RMK12. 

Di Malaysia terdapat 3 tempat diisytiharkan sebagai UNESCO Biosphere Reserve iaitu

1. Tasik Chini di negeri Pahang

2.Crocker Range di Sabah dan

3. Bukit Bendera di Pulau Pinang.

Saya ingin mencadangkan kepada Keraajaan untuk menubuhkan pejabat Pesuruhjaya Biosphere Reserve dan mendrafkan Polisi Kebangsaan Biodiversiti untuk memastikan kelestarian alam sekitar di Malaysia. 

 

Saya ingin membangkitkan isu Tasik Chini di negeri Pahang yang telah diiktiraf sebagai UNESCO Biosphere Reserve pada tahun 2009. Sekretariat UNESCO Paris sudah memberikan tempoh sehingga 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini. Pengauditan UNESCO akan dilakukan terhadap Tasik Chini dan sekiranya tidak memenuhi syarat maka Tasik Chini akan dilucutkan dalam senarai UNESCO Biosphere Reserve. Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi di negara ini.

Apakah usaha Kerajaan untuk memastikan Tasik Chini tidak ditarikbalik status Biosphere Reserve? Apakah usaha Kementerian untuk menghentikan penerokaan perlombongan dan pembalakan di Tasik Chini? 

Barangkali Menteri boleh mencadangkan Tasik Bera di kawasan Parlimen Perdana Menteri  sebagai UNESCO Biosphere Reserve yang baru selepas Bukit Bendera kerana Tasik Bera merupakan tasik semulajadi air tawar terbesar di Semenanjung Malaysia. 

Soalan saya memandangkan tema Mampan RMK12, apakah dana dan program untuk menyokong ketiga-tiga UNESCO Biosphere Reserve iaitu Tasik Chini, Crocker Range dan Bukit Bendera. 

Saya senaraikan tujuh perkara yang perlu dimasukkan dalam RMKe-12 yang tidak disebut langsung dalam dokumen RMKe-12 tentang projek-projek di Pulau Pinang. 

 

(1) Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang yang melalui dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bukit Bendera dan Parlimen Jelutong. Apakah status terkini RTB ini memandangkan ia telah melalui beberapa RMK dan masih belum dapat dilaksana lagi. 

 

(2) Pembinaan Kereta Kabel di Bukit Bendera yang merangkumi laluan dari Teluk Bahang ke Bukit Bendera sepanjang 7km di bawah Rolling Plan 4, RMK11. 

 

(3)Projek Naiktaraf Hospital-hospital di Pulau Pinang

 

(4) Projek Pengangkutan Awam Transport Master Plan – Lebuhraya, MRT dan Third Link. 

 

(5) Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. 

 

(6) Projek Pembekalan Air Mentah dari Sungai Perak ke Pulau Pinang (Sungai Perak Raw Water Transfer Project)

(7) Pembinaan Ruma PPR – satu projek di bahagian Pulau, satu lagi projek di Seberang Perai

Di bawah RMK11 terdapat selected high impact project iaitu Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang yang melalui dua buah kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bukit Bendera dan Parlimen Jelutong. Apa status terkini RTB ini memandangkan ia telah melalui beberapa RMK. Beberapa RMK sudah berdekad-dekad tetapi masih belum dapat dilaksanakan. 

Saya membaca RMK12 telah menggariskan pelaksanaan 10 Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) menjelang tahun 2025. Saya ingin mendapat pengesahan bahawa Lembangan Sungai Pinang di Pulau Pinang sama ada tersenarai dalam 10 buah pelan tersebut.

Begitu juga dengan pembinaan kereta kabel Bukit Bendera yang sebelum ini dirancang tetapi ditangguhkan.

Projek-projek naik taraf hospital-hospital di Pulau Pinang. Di bawah RMK11, terdapat beberapa projek naik taraf di Hospital Besar Pulau Pinang dan saya berbesar hati bahawa ia sedang dijalankan tetapi saya ingin mendapat butiran apakah tentang status-status naik taraf hospital-hospital kerajaan di negeri Pulau Pinang. 

 

Projek Pengangkutan Awam- Transport Master Plan, Lebuh Raya MRT dan third-link Pulau Pinang. Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang telah ditetapkan di bawah RMK11 tetapi ditangguhkan. Minta penjelasan.

Projek pembekalan air mentah dari Sungai Perak ke Pulau Pinang- Sungai Perak Raw Water Transfer Project. Saya dapat baca bahawa ada Agenda Transformasi Sektor Air 2040 dan tahun 2040 terlalu lama. Kita perlu menyegerakan projek pembekalan water transfer project dari Sungai Perak ke Pulau Pinang. 

 

Permintaan untuk PPR. Satu Projek PPR di pulau dan satu lagi di Seberang Perai. Adakah status dan tidak disebut langsung dalam dokumen RMK12. Ketujuh-tujuh isu yang saya bangkitkan tadi, saya minta penjelasan. Janganlah menganaktirikan negeri Pulau Pinang dan tidak menyebut langsung tentang projek-projek tersebut di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas. 

 

Akhir sekali, saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada Yang Berhormat Menteri Kewangan. Perbelanjaan Pembangunan untuk RMK12 berkos sejumlah RM400 bilion iaitu tambahan sebanyak 60 peratus dari RMK11. Saya minta Yang Berhormat Menteri menjelaskan bagaimana dana ini akan disediakan? Sama ada cukai-cukai baru akan dikenakan dan butiran-butirannya sama ada hutang-hutang negara akan ditambah? Dokumen ini bukan sahaja tidak dapat melonjakkan Malaysia kepada ekonomi maju tetapi ia kurang daripada segi perancangan untuk membolehkan Malaysia mencapai satu ekonomi maju kepada high income nations. 

Semua ini saya ingin meminta penjelasan dari kerajaan. 

Itu sahaja ucapan saya Tuan Yang di-Pertua. Terima Kasih

 

No comments: